Cinta Rasulullah SAW kepada anak yatim
Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Nabi Muhammad SAW
telah bersabda : "Aku dan orang yang memelihara anak yatim adalah di
dalam syurga seperti ini - sambil Baginda menunjuk dengan kedua-dua
jarinya - jari telunjuk dan jari tengah (yang dirapatkannya, sebagai
isyarat rapatnya mereka dan duduk bersama-sama Nabi di dalam syurga).
(Hadis Riwayat Bukhari)
Anak yatim merupakan duta kecil Nabi. Mendekati mereka bermakna
mendekati Baginda. Banyak hadis yang menceritakan kelebihan orang yang
menjaga dan berbuat baik kepada anak yatim. Sayang sekali kalau kita
tidak teruja dengan tawaran eksklusif ini. Islam sangat mengambil berat
perihal anak yatim. Jika disemak dalam al-Quran, Allah menjelaskan
berkenaan anak-anak yatim di pelbagai tempat.
Siapakah anak yatim?
Anak yatim merujuk kepada anak-anak yang kematian bapa. Bahkan ada
yang berpendapat ibu, atau jika kematian salah seorang daripada ibu atau
bapa. Tetapi pendapat yang lebih kuat ialah anak yang kematian bapa.
Mengapa bapa? Kerana bapa diibaratkan tangan yang akan membawa pulang
makan-minum dan sebagainya untuk keluarga. Justeru kehilangan bapa akan
memberi kesan kepada perkembangan anak-anak tersebut baik dari sudut
mental, fizikal, keyakinan diri dan kewangan.
Berkaitan usia anak-anak yang dikatakan anak yatim, Saiyidina Ali
berpendapat umur anak yatim ialah sebelum umur baligh. Hal ini bermaksud
setelah baligh dia tidak lagi dikira sebagai anak yatim. Manakala
menurut Imam Hanafi, usia anak yatim ialah anak-anak yang berada di
bawah umur 18 tahun.
Sikap berbuat baik
Allah Taala menyebut di dalam Surah ad-Duha ayat 9-10 : "Pada anak
yatim itu ada penawar yang menyembuhkan. Pada anak yatim itu juga ada
racun yang sangat menyakitkan. Sekiranya hatimu tega dan rela dengan
kesusahan mereka ertinya kau lupa dengan pesan Allah ini. Maka terhadap
anak yatim janganlah engkau berkasar, dan terhadap pengemis janganlah
kau herdik."
Mereka ini mempunyai hak untuk ditunaikan seperti mana yang disebut
dalam ayat di atas, berbuat baik kepada mereka adalah perkara yang
paling terpuji, dan menyakiti mereka adalah perkara yang paling dikeji.
Rasulullah SAW bersabda : "Sesiapa yang menanggung makan minum seorang
anak yatim Muslim sehingga cukup keperluannya, maka wajib baginya
syurga." (Riwayat al-Tabarani)
Rasulullah sangat menyayangi anak yatim, perasaan ini semuanya datang
daripada hati Baginda yang penuh dengan cinta. Baginda pernah
mengalaminya, kerana itu baginda dapat menghayatinya. Semasa Perang
Muktah walaupun dimenangi oleh umat Islam namun turut menyaksikan
kehilangan ramai sahabat Nabi. Antaranya Zaid bin Harithah, diikuti
Jaafar bin Abu Talib, sepupu rapat Baginda dan diakhiri dengan Abdullah
bin Rawahah.
Pemergian Jaafar amat dirasai, beliau meninggalkan isteri dan dua
orang anak kecil yang sedang membesar. Maka Rasulullah mengambil berat
urusan mereka. Rasulullah pernah menjadi pengasuh anak yatim.
Daripada kisah ini kita boleh meneladani dan melihat betapa mulianya
hati seorang Nabi junjungan mulia, mengajar kita erti cinta kepada anak
yatim yang kehilangan tempat bergantung, bahkan mengambil tempat sebagai
bapa angkat kepada mereka.
Belajar dengan Rasulullah
Kita semua harus belajar daripada kisah yatim Rasulullah. Tentang
erti kesabaran, kegigihan, keberanian dan kejujuran yang menjadikan
Baginda seorang peniaga yang berjaya, hakim yang jujur dan bijaksana,
pendakwah yang penuh hikmah dan tidak pernah mengalah, jeneral perang
yang penuh strategi dan berani, ahli ibadah yang taat dan sering
menangis, orator yang bicaranya memukau dan mempengaruhi telinga yang
mendengar, pemimpin yang adil dan penuh kasih sayang, dan seorang Nabi
dan Rasul yang sangat dicintai dan mulia.
Baginda merupakan idola si yatim yang hebat. Yatim bukanlah alasan
untuk merasa malas, hina dan terasing. Sebaliknya harus menjadi pencetus
motivasi untuk meraih kehidupan yang lebih baik dengan sifat jujur,
amanah, rajin, gigih mencari ilmu dan iman demi kejayaan dunia dan
akhirat.
Yatim hakiki adalah apabila miskin akhlak dan budi, sering tidak
bersyukur akan kurniaan Allah. Sekiranya kita mengabaikan anak yatim,
diri kita inilah yang yatim sebenarnya. Orang yang intim dan menjaga
anak yatim akan intim dengan Rasulullah, bahkan akan intim dengan Allah.
Kasih sayang terhadap anak yatim sinonim dengan iman. Maka apakah
kita beriman sekiranya mengabaikan anak yatim sama ada yang berada di
kawasan berhampiran atau dalam masyarakat dan di negara kita?
No comments:
Post a Comment